Home Luar Negara IRAN MAMPU HASIL BAHAN FISIL UNTUK BOM DALAM TEMPOH 1 ATAU 2...

IRAN MAMPU HASIL BAHAN FISIL UNTUK BOM DALAM TEMPOH 1 ATAU 2 MINGGU LAGI – BLINKEN

174
0

WASHINGTON: Iran berkeupayaan menghasilkan bahan fisil untuk digunakan dalam senjata nuklear dalam tempoh satu atau dua minggu, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, semalam.

Bahan fisil ialah bahan api yang mampu mempertahankan tindak balas fisi nuklear dengan memanfaatkan tenaga termal neutron.

Butiran mengenai keupayaan Iran itu muncul susulan pemilihan baharu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian baru-baru ini yang menegaskan mahu menamatkan pengasingan Iran dan menyokong menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa global.

Bagaimanapun Blinken berkata, berdasarkan apa yang dilihat AS dalam beberapa minggu dan bulan terakhir ini, Iran ‘sebenarnya bergerak ke hadapan’ dalam program nuklearnya.

Pada 2018, AS secara unilateral menarik diri daripada perjanjian nuklear, yang diwujudkan untuk mengawal selia aktiviti atom Iran sebagai pertukaran untuk menarik balik sekatan antarabangsa.

Blinken yang berucap di forum keselamatan di Colorado menyalahkan kegagalan rundingan perjanjian nuklear dalam mempercepatkan keupayaan Iran.

“Daripada sekurang-kurangnya setahun lagi mempunyai kapasiti menghasilkan bahan fisil untuk senjata nuklear, (Iran) kini bergerak jauh ke hadapan dengan kini mungkin hanya memerlukan masa satu atau dua minggu lagi untuk melakukannya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Iran masih belum membangunkan senjata nuklear.

Sementara itu, bulan lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata, Iran sedang mengembangkan lagi kapasiti nuklearnya dengan Tehran memaklumkan agensi itu bahawa negaranya sedang memasang lebih banyak lata atau siri emparan yang digunakan dalam pengayaan di kemudahan nuklear di Natanz dan Fordow.

Menurut IAEA, Iran adalah satu-satunya negara senjata bukan nuklear yang memperkayakan uranium ke paras yang tinggi iaitu sehingga 60 peratus hanya kurang daripada gred senjata, sementara pada masa sama ia terus mengumpul simpanan uranium yang besar, cukup untuk membina beberapa bom atom, kata agensi itu.

Berikutan pengunduran AS, republik Islam itu secara beransur-ansur meninggalkan komitmennya di bawah perjanjian nuklear 2015.

Namun pemangku Menteri Luarnya, Ali Bagheri memberitahu CNN awal minggu ini bahawa Iran tetap komited dengan perjanjian yang dikenali sebagai JCPOA.

“Kami masih menjadi ahli JCPOA. Amerika masih belum dapat kembali ke JCPOA, jadi matlamat yang kita kejar ialah menghidupkan semula perjanjian 2015.

“Kami tidak memerlukan perjanjian baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Bagheri berkata, tiada sesiapapun di Iran bercakap mengenai ‘perjanjian baharu’ berikutan kerajaannya sudah mempunyai perjanjian (yang ditandatangani) pada 2015.

Blinken mengulas perkara itu hanya beberapa hari selepas penyiaran laporan Perkhidmatan Rahsia AS meningkatkan keselamatan untuk calon presiden Republikan Donald Trump minggu lalu, selepas pihak berkuasa mengetahui dakwaan rancangan Iran untuk membunuhnya.

Bagaimanapun Teheran menafikan dakwaan itu.- AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here