Home Hiburan HAZAMA KORBANKAN DANA IVF DEMI ALBUM PUJANGGA

HAZAMA KORBANKAN DANA IVF DEMI ALBUM PUJANGGA

201
0

PETALING JAYA: Demi merealisasikan projek album kedua berjudul Pujangga, Hazama, 40, mengakui terpaksa membuat keputusan yang disifatkan paling mencabar dan berat buat dirinya.

Agak mengejutkan apabila Hazama mengakui terpaksa melupakan seketika hasrat mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat, sebaliknya, menggunakan wang yang ada untuk menampung kos pembikinan album itu.

Mungkin keputusan yang dibuat boleh mencetuskan pandangan negatif, namun, Hazama atau nama penuh, Hazama Azmi mendakwa apa yang dilakukan adalah atas nama cinta terhadap dunia seni.

“Soal anak belum ada rezeki lagi buat saya dan isteri. Tetapi, saya okay sahaja. Harapan saya sangat tinggi untuk album ini.

“Duit yang sepatutnya mungkin saya boleh cuba untuk tampung kos IVF, saya letakkan ke arah bidang kerja, di mana saya belanjakan untuk pembikinan album ini.

“Saya buat begini kerana memikirkan ada banyak tanggungjawab yang belum dilunaskan lagi. Saya kena selesaikan satu persatu,” katanya kepada BH Online.

Memberi rasional atas keputusannya itu, Hazama berkata, dia perlu membuktikan dirinya layak berada dalam industri muzik.

“Sebagai penyanyi, saya kena ada satu pernyataan atau ‘statement’ mengenai kerjaya saya.

“Orang akan kata, kalau ada anak, anaklah yang akan bawa nama saya. Tetapi kalau ada karya, mungkin karya saya itu boleh pergi selama-lamanya.

“Album ini saya anggap seperti anak saya sendiri. Disebabkan itu, harapan saya terhadap album ini sangat tinggi dan dapat menunjukkan saya wujud dalam industri muzik,” katanya ditemui pada majlis pradengar album Pujangga di studio miliknya di sini, baru-baru ini.

Hazama mendirikan rumah tangga dengan dengan pengarah muzik, Genervie Kam pada 14 Januari 2017.

Sebelum ini, Hazama dilapor tidak berhasrat mengambil anak angkat sebagai penyeri rumah tangga. Akui Hazama, prinsip itu akan terus menjadi pegangan kerana ingin melihat darah seni yang ada dalam dirinya dan isteri, diwarisi anak kandung kelak.

“Saya boleh menyanyi dan isteri boleh main muzik. Kalau boleh, saya hendak anak kandung mewarisinya. Kalau bukan baka sendiri, mungkin anak itu kelak pilih kerjaya lain.

“Kalau zuriat kita, sekurang-kurangnya kita tahu dia boleh mewarisi bakat seni ibu bapanya. Faktor lain yang membuatkan saya tak mahu ambil anak angkat adalah kerana saya ada anak saudara yang boleh bergantung harap.

“Kalau saya meninggal dunia, merekalah yang akan uruskan. Saya sudah suruh mereka mempersiapkan diri,” ujarnya.

Berkongsi mengenai pembikinan album Pujangga yang menyaksikan dirinya bertindak sebagai penerbit, Hazama berkata, bingkisan itu dihasilkan atas bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) dan belanja sendiri.

“Matlamat DKD adalah untuk berkongsi rezeki dengan rakan industri kreatif. Mereka (kerajaan) tidak mahu kita ‘makan’ seorang.

“Itu menjadi syarat ditetapkan di mana dana yang diberi itu, kita salurkan kepada orang dalam industri berkenaan.

“Jumlah dana yang saya terima adalah RM100,000. Kalau hendak diikutkan, jumlah itu tidak mencukupi. Saya guna inisiatif sendiri untuk keluarkan kos bagi menampung perbelanjaan pembikinan album ini.

“Album ini mengandungi 10 lagu. Ada satu video muzik rasmi yang akan dihasilkan. Selebihnya, adalah video muzik lirik.

“Pembikinan album ini juga disertakan dengan dokumentari yang memaparkan kisah di sebalik tabir projek ini,” katanya.

– BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here