Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Wanita hamil biasanya mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuklah masalah jantung.
Ini tidak membahayakan bayi yang akan dilahirkan, tetapi boleh menyebabkan komplikasi serius bagi ibu.
Menurut portal myhealth kehamilan menyebabkan beban kerja jantung bertambah. Dalam 3 bulan pertama kehamilan wanita isipadu darah meningkat sebanyak 40 hingga 50 peratus.
Jumlah ini kemudian kekal tinggi bagi 6 bulan seterusnya. Jumlah darah yang dipam keluar setiap minit meningkat 30 hingga 50 peratus. Kadar denyutan jantung juga meningkat sebanyak 10 hingga 15 denyutan seminit.
Jantung perlu bekerja keras untuk membekalkan darah dan nutrien kepada uri, rahim dan janin yang semakin membesar. Oleh kerana kehamilan memberi beban kerja yang berat pada jantung, sesetengah wanita yang mempunyai jantung yang sihat menghadapi masalah semasa hamil.
Risiko meningkat di kalangan wanita yang gemuk, mereka yang mengalami kehamilan selepas 35, mempunyai diabetes atau tekanan darah tinggi.
Keabnormalan Jantung Semasa Hamil
Deruan Jantung ( “Murmurs”)
Deruan jantung mungkin berlaku pada sesetengah wanita yang sihat buat pertama kalinya semasa mengandung. Kadang-kadang deruan jantung yang tidak normal boleh dikaitkan dengan penyakit injap jantung.
Aritmia
Hampir 50 peratus daripada wanita mempunyai denyutan jantung yang tidak normal dipanggil aritmia jantung semasa mengandung.
Palpitasi jantung
Palpitasi jantung adalah sensasi atau kesedaran denyutan jantung anda sendiri yang berlaku dengan kuat atau cepat. Ini berlaku di kalangan wanita hamil kerana perubahan hormon dalam badan.
Peripartum Cardiomyopathy
Ini adalah suatu keadaan yang jarang berlaku yang menyebabkan lemah jantung dalam bulan terakhir kehamilan sehingga tempoh 5 bulan selepas bersalin. Puncanya masih tidak diketahui. Walaupun jantung boleh kembali normal ia dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi semasa kehamilan.
Jika anda merancang kehamilan anda boleh berunding dengan kedua-dua pakar kardiologi dan pakar obsteterik, anda akan dapat hamil dengan selamat. Doktor anda akan menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Ini termasuk beberapa ujian diagnostik seperti ekokardiogram untuk menilai keadaan keseluruhan jantung anda. Beliau juga akan membincangkan masalah yang mungkin berlaku dan memberitahu anda apa gejala yang anda perlu perhatikan.
Sesetengah ubat mungkin tidak selamat untuk terus diambil semasa hamil. Doktor akan memberikan ubat yang berbeza atau memberikan dos yang disyorkan lebih selamat. Anda perlu menjangka bahawa lawatan pranatal anda adalah lebih kerap dari biasa dan meluangkan masa secukupnya untuk rawatan.
Imedikel TV






