Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 4000 kilogram (kg) dengan angaran RM13,800 dan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dengan nilai RM60,000 menjadikan jumlah rampasan sebanyak RM73,800.
Serbuan Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Pasir Mas bersama Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor kira-kira jam 3.15 petang semalam di premis perniagaan borong Taman Rantau Jaya, Banggol Kulim, di sini, mendapati sebuah lori berpendaftaran tempatan di hadapan premis tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut mengandungi gula pasir halus sebanyak 4000kg, melebihi had yang dibenarkan dalam lesen CSA Borong KPDN, yang hanya membenarkan simpanan sebanyak 1000kg sahaja.
Dalam pada itu pelesen borong tersebut disyaki melanggar Peraturan 9(1) di mana pemborong dikehendaki menjual kesemua kuantiti barang berjadual kepada pemborong atau peruncit dan tidak boleh memiliki atau mengawal barang berjadual melebihi kuantiti yang dinyatakan dalam lesen mereka.
Operasi Ops Tiris dijalankan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.
Selanjutnya kes ini akan disiasat oleh Pegawai Penyiasat KPDN Pasir Mas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM1juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengguna dinasihatkan supaya menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyelewengan melibatkan barang kawalan.
Peniaga disarankan sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan KPDN dan mewujudkan perdagangan harmoni dengan pelanggan. – KPDN –
Imedikel TV






