Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Buasir masalah kesihatan yang sering terjadi, namun disebabkan perasaan malu, penghidap buasir jarang berkongsi mengenainya.
Buasir turut dikenali sebagai hemoroid yang terjadi apabila salur darah berdekatan dubur membengkak.
Buasir juga boleh diklasifikasikan kepada dua kategori bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman.
Antara gejala buasir yang biasa dialaminya pesakit ialah lendir yang mengalir daripada buasir, bengkak, gatal, berdarah atau sakit ketika membuang air besar, ketidakselesaan serta panas atau pedih pada dubur.
Beberapa faktor yang menyumbang kepada buasir antaranya ialah:
1.Kelemahan gravitI pada dinding pembuluh darah
2.Kehamilan
3.Sembelit
4.Duduk terlalu lama di dalam tandas
5.Pengaruh genetik
6.Meneran ketika membuang air besar
Tanpa disedari, komplikasi mungkin boleh terjadi daripada penyakit buasir seperti trombosis (darah beku di dalam salur darah), jangkitan kuman, ulser, bernanah dan hilang kawalan terhadap pembuangan Najis.
Oleh sebab itu, pesakit perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar sekiranya mengalami pendarahan ketika atau selepas membuang air besar.
Buasir biasanya dirawat menerusi:
1.Ubah suai diet dan gaya hidup pesakit: pengambilan serat satu kaedah rawatan yang selamat, dengan memakan buah-buahan, sayur-sayuran hijau dan bijiran, lebihkan pengambilan air dan kurangkan pengambilan lemak.
2.Pengambilan ubat-ubatan makan atau sapuan: menggunakan ubat seperti pelembut najis sebagai pelincir bagi mengurangkan sembelit serta ubat-ubat topikal seperti krim bagi mengawal dan melegakan simptom seperti kesakitan dan kegatalan buasir.
3.Pembedahan: rawatan bagi penyakit buasir bergantung kepada tahap keterukan gejala yang dialami. Jika pengambilan ubat tidak berkesan, doktor terpaksa menjalankan prosedur ringkas mahupun pembedahan pembuangan buasir.
IMEDIKEL TV






