Home Hiburan ANWAR AJAK ANAK MUDA TONTON TEATER HAJI MURAT

ANWAR AJAK ANAK MUDA TONTON TEATER HAJI MURAT

237
0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menonton pementasan teater Haji Murat ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Anwar berkata, beliau teruja untuk menonton karya adaptasi daripada novel pendek yang juga karya terakhir ditulis Sasterawan Dunia, Leo Tolstoy itu biarpun pada awal tidak mendapat undangan dan hanya mengetahui pementasan berkenaan menerusi media.

“Sebenarnya ini adalah acara yang saya tidak diundang. Secara kebetulan, saya baca dalam akhbar dan media sosial mengenai teater Haji Murat.

“Haji murat adalah salah satu karya besar Leo Tolstoy, tapi kurang masyhur.

“Ada pandangan Haji Murat adalah ‘hero’, tapi beliau adalah ‘tragedy hero’. Jadi, saya minta pegawai saya tanya DBP untuk hadir menonton teater Haji Murat.

“Saya teruja dengan pementasan ini dan perlu ajak anak muda untuk melihat kekuatan karya ini.

“Ini antara karya yang memiliki penceritaan terindah dan terbaik di dunia.

“Saya masih belum mengerti mengapa di dunia barat tidak begitu popular atau tidak diendahkan. Ini karya sastera yang luar biasa,” kata Anwar dalam ucapannya sebelum pementasan teater Haji Murat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Teater Haji Murat adalah sebahagian daripada kegiatan pengembangan DBP dalam mengangkat karya bermutu untuk dipentaskan.

Pementasan berkenaan membabitkan sepenuhnya Karyawan DBP sebagai tenaga produksi, malah sebahagiannya beraksi dalam pementasan kali ini.

Teater arahan bersama A Wahab Hamzah dan Aris Othman itu dijayakan pelakon hebat teater seperti Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem, Dr Rusdeen Suboh, Ard Omar, Helmi, Rose Julia, Anna Natasha serta ramai lagi.

Keseluruhan tenaga produksi dan pelakon yang terbabit dalam menjayakan pementasan ini adalah kira-kira 70 orang.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Duta Besar Russia ke Malaysia, TYT Naiyl M Latypov.

Haji Murat diadaptasi daripada novel pendek yang juga karya terakhir ditulis Sasterawan Dunia, Leo Tolstoy dari 1896 hingga 1904, dan diterbitkan selepas kematiannya iaitu pada 1912.

Teater itu menceritakan protagonis bernama Haji Murat, seorang panglima pasukan pemberontak Avar yang membentuk perikatan dengan pihak Rusia yang ditentanginya kerana ingin membalas dendam.

Karya agung yang diterjemah penggiat sastera dunia, Dr Victor Pogadaev pernah diterbitkan oleh DBP pada 2001 melalui suntingan Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Pementasan teater Haji Murat diterbitkan bersama Badan Budaya DBP, DBP dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Teater Haji Murat dipentaskan mulai hari ini hingga 29 Jun di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, mulai jam 8.30 malam.-BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here