Home Hiburan ANAK SAUDARA SITI SERTAI WCOPA DI HOLLYWOOD

ANAK SAUDARA SITI SERTAI WCOPA DI HOLLYWOOD

159
0

KUALA LUMPUR: Anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Umairah, 13, antara peserta yang akan menyertai kejohanan World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat antara 28 Jun hingga 6 Julai ini.

Seramai 15 peserta akan mewakili negara dalam kategori vokal, tarian, muzik dan peragaan, tahun ini. Sebanyak 70 negara dijangka akan menyertai kejohanan edisi ke-27 yang dianjurkan setiap tahun di Hollywood ini.

Umairah atau nama sebenarnya, Ummi Umairah Saiful Anuar berkata, dia akan mewakili negara menerusi lima kategori dan akan mempertaruhkan lagu nyanyian asal ibu saudaranya iaitu Cindai menerusi kategori World.

“Ini kali pertama saya menyertai WCOPA. Saya mahu mencuba sesuatu yang mencabar dan akan membawakan lima lagu mengikut lima kategori.

“Lima kategori ini adalah Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety. Saya juga akan membawakan lagu bergenre Irama Malaysia, Cindai bagi kategori World.

“Ibu saudara ada berpesan supaya buat yang terbaik dan jangan malu-malu. Jujurnya, saya gementar, apatah lagi, tak pernah ke Los Angeles.

“Pertandingan ini besar buat saya. Jadi, saya akan berlatih betul-betul. Saya harap semua boleh doakan agar saya berjaya dan dapat bawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya yang ditemui pada acara mini persembahan pasukan Malaysia mewakili WCOPA 2024 di Sekolah Seni Malaysia, di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mycreative Promotion Sdn Bhd, Romli Bidin berkata, penyertaan pasukan Malaysia dalam kejohanan dunia itu adalah satu-satunya peluang bagi karyawan tanah air tak kira kecil atau dewasa untuk menonjolkan bakat kepada penggiat seni Hollywood dan menyerlahkan diri di arena antarabangsa.

“Seperti biasa, pasukan Malaysia terdiri dari peserta berbilang kaum dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Seramai enam peserta adalah kanak-kanak berusia antara 5 hingga 15 tahun dan sembilan peserta dewasa (16 tahun ke atas). Paling muda berusia 8 tahun, manakala paling dewasa berusia 50 tahun.

“Keseluruhannya, pasukan Malaysia akan menyertai 63 pertandingan dalam bahagian solo dan berkumpulan. Setiap peserta menyertai sekurang-kurangnya empat kategori dan paling banyak lapan kategori.

“Seramai lapan peserta bertanding dalam kategori vokal, enam dalam kategori tarian, peragaan (5) dan instrumental (1) dengan bermain alat muzik Sape,” katanya.

Selain bertanding, pasukan Malaysia juga berpeluang menyertai bengkel dikelolakan oleh penggiat seni terkemuka dari Hollywood, Nashville dan New York.

Peserta juga berpeluang untuk mendapat biasiswa dari pusat pengajian tinggi seni persembahan di Hollywood dan New York bernilai lebih RM2 juta.

Selain itu, berpeluang meneruskan kerjaya di Hollywood bersama penerbit, syarikat atau agensi seni persembahan terkemuka di Hollywood.

Justeru itu, penyertaan pasukan Malaysia dalam kejohanan berkenaan bukan sahaja menonjolkan bakat dan menyerlah di persada dunia seni persembahan, malah mempertingkatkan dan memperkembangkan kerjaya dalam industri seni.-BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here