KUALA LUMPUR: Pengalaman bertemu ranking kedua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di pentas final Terbuka Indonesia dianggap sebagai sesuatu yang berharga buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Biarpun terpaksa akur tewas dan pulang selaku naib juara, namun corak kekuatan mentaliti dipamerkan gandingan China itu sepanjang 55 minit perlawanan, menjadi inspirasi buat Wei Chong-Kai Wun untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang.
Bagi Kai Wun, Wei Keng-Chang mempunyai mentaliti yang sangat kuat dan faktor itu harus ditambahbaik mereka selepas ini.
“Saya fikir mentaliti dimiliki mereka sangat baik dan kuat. Kami perlu banyak lagi belajar mengenainya,” kata Kai Wun selepas aksi final pertama sulung mereka dalam kejohanan bertaraf Super 1000 yang berlangsung di Istora Senayan, semalam.
Pertemuan di pentas final itu juga adalah pertembungan keempat buat kedua-dua beregu dengan rekod kemenangan kini terus didominasi Wei Keng-Chang dengan 4-0.
Wei Ching-Kai Wun berjaya memaksa lawan mengikut rentak permainan pantas di set pertama yang dimenangi mereka namun Wei Keng-Chang bangkit menunjukkan kualiti dimiliki mereka di set kedua apabila memenangi saingan, 21-16 untuk mengheret saingan ke set penentuan sebelum memuktamadkan kemenangan, 19-21, 21-16, 21-12.
“Saya rasa kejohanan ini banyak memberi pengalaman dan keyakinan kepada kami. Apa yang penting selepas ini, kami perlu berusaha lebih gigih lagi dan mempersiapkan diri sebaik-baiknya untuk kejohanan akan datang,” kata Wei Chong.
Pulang selaku naib juara, Wei Chong-Kai Wun memperoleh hadiah wang kemenangan bernilai AS$45,500 (RM213,500) manakala Wei Keng-Chang meraih AS$96,200 (RM451,557).- BH Online –
Imedikel TV






