BAITULMAQDIS: Larangan terhadap operasi Al Jazeera di Israel dilanjutkan selama 45 hari lagi oleh pengawal selia telekomunikasi Israel pada Ahad, selepas Kabinet bersetuju siarannya menimbulkan ancaman kepada keselamatan.
Mahkamah Tel Aviv minggu lalu mengekalkan larangan awal selama 35 hari ke atas operasi Al Jazeera di Israel, yang dikenakan oleh kerajaan atas alasan keselamatan negara, yang berakhir pada Sabtu.
Dalam keputusan berasingan mengenai petisyen oleh Al Jazeera menentang penutupan itu, Mahkamah Agung Israel menyifatkan tindakan terhadap saluran penyiaran yang disokong Qatar itu sebagai ‘penetapan duluan’.
Al Jazeera memberitahu mahkamah, ia tidak mencetuskan keganasan dan larangan itu adalah tidak seimbang, berdasarkan dokumen mahkamah yang ditunjukkan.
Saluran itu, yang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, tidak segera memberikan maklum balas.
Siaran rangkaian pada syarikat kabel dan satelit serta akses kepada laman webnya akan kekal disekat, kata Kementerian Komunikasi Israel.
“Kami tidak akan membenarkan saluran Al Jazeera menyiarkan dari Israel dan membahayakan tentera kami,” kata Shlomo Karhi, sambil menambah bahawa undang-undang memberi kuasa kepadanya sebagai Menteri Komunikasi untuk mengambil tindakan sedemikian terhadap penyiar asing.
“Memandangkan betapa seriusnya kerosakan keselamatan negeri, saya yakin perintah penutupan akan dilanjutkan pada masa hadapan juga,” katanya.
Hakim Shai Yaniv berkata, beliau sudah ‘dibekalkan’ dengan bukti yang tidak dinyatakannya mengenai hubungan yang lama terjalin dan rapat antara kumpulan pejuang Hamas dan Al Jazeera, menuduh saluran itu mempromosikan matlamat Hamas.
Pihak berkuasa Israel menyerbu sebuah bilik hotel Baitulmaqdis yang digunakan oleh Al Jazeera sebagai pejabatnya pada 5 Mei lalu dan berkata mereka akan menutup operasi itu sepanjang tempoh perang Gaza.
Al Jazeera sebelum ini menuduh Israel menyasarkan pejabat dan kakitangannya secara sistematik.
Pegawai Israel pula dikatakan sudah sekian lama tidak berpuas hati dengan liputan Al Jazeera. – AGENSI, BH Online –
IMEDIKEL TV






