Oleh: Afrizam Arif@IMedikel Tv
KOTA BHARU: Seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan direman selama dua hari di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid.
Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan reman tersebut.
Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan mendapatkan perintah reman bagi menjalankan siasatan lanjut.
Semalam media melaporkan pengarah itu dipercayai meminta wang suapan sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan jabatan.
Pengarah tersebut ditahan petang semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah dengan anggaran berjumlah ratusan ribu ringgit.
Terdahulu lelaki terbabit yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan berseluar biru gelap dibawa dengan van SPRM tiba pada 8.20 pagi di mahkamah.
Imedikel TV






