Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Setiap proses kehamilan oleh para ibu bukan sahaja melalui proses kelahiran secara normal.
Malah, ramai ibu hamil terpaksa menjalani proses kelahiran secara pembedahan (czer) kerana mengalami komplikasi ketika mengandung serta bagi mengelak risiko terhadap ibu dan bayi selepas bersalin.
Namun begitu, stigma masyarakat mengatakan selepas ibu bersalin caesarean section (czer), mereka akan melalui pembedahan yang sama bagi kehamilan akan datang.
Tetapi, sebenarnya ada juga mereka yang berjaya melalui proses bersalin normal selepas czer namun ia bergantung kepada beberapa faktor:
- Pembedahan czer bersalin yang terdahulu bukan disebabkan oleh masalah proses kelahiran yang lambat akibat rahim tidak mengecut (dystocia).
- Kehamilan sekarang bukanlah mempunyai masalah yang sama dengan kelahiran yang lalu yang memerlukan pembedahan (contohnya bayi songsang – kaki keluar dahulu).
- Pernah melakukan proses kelahiran secara normal sebelum ini.
- Proses kelahiran kali ini telah bermula dan rahim mula mengecut dengan baik dan pangkal rahim untuk jalan kelahiran mula membuka.
- Ibu yang hamil berumur kurang dari 35 tahun.
Mereka yang melalui pembedahan czer lazimnya akan tinggal di hospital lebih lama berbanding dengan mereka yang bersalin normal.
Ini berikutan wanita tersebut perlu dipantau akan keadaan luka di bahagian abdomennya setelah menjalani pembedahan.
Ibu bersalin normal juga kebiasaannya boleh menyusukan anak lebih cepat berbanding dengan mereka bersalin czer. Bagaimanapun, ada keburukan sekiranya ibu ingin bersalin normal selepas melalui 1 pembedahan czer.
- Mungkin mengalami koyakan yang teruk pada vagina
- Risiko rahim pecah, ia meningkat 2 hingga 3 kali ganda jika kena induce.
- Sekiranya ada tanda-tanda bahaya yang menandakan rahim ingin pecah, pembedahan n perlu segera dilakukan.
- Terpaksa emergency czer ketika cuba bersalin normal.
- Pembedahan ini dilakukan secara kecemasan membawa risiko yang lebih sekiranya dibandingkan dengan pembedahan yang dirancang.
Jika berlaku komplikasi rahim pecah sewaktu bersalin normal, prosedur bersalin czer kecemasan akan dijalankan.
Sekiranya keadaan tersebut terlalu serius, pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim akan dilakukan bagi menyelamatkan nyawa ibu.
Oleh sebab itu, wanita tersebut tidak boleh hamil di masa akan datang.
IMedikel TV






