Home Buletin Semasa JKDM KELANTAN RAMPAS MINUMAN KERAS RM1.2 JUTA DI SHAH ALAM, SELANGOR

JKDM KELANTAN RAMPAS MINUMAN KERAS RM1.2 JUTA DI SHAH ALAM, SELANGOR

253
0

Oleh: Afrizam Arif, Imedikel TV

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyerbu dan membuat rampasan sebanyak 24,500 liter minuman keras bernilai RM1.2 juta di sebuah gudang di Shah Alam pada 25 April lepas.

Pengarah JKDM Negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan Rantau Panjang dengan bantuan dari Pasukan Cobra JKDM selepas menerima maklumat dan risikan telah dijalankan.

“Serbuan ini dilakukan ke atas sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Haji Osman Kampung Batu 6, Shah Alam, Selangor pada pukul 8.30 malam 25 April lalu.

“Ketika serbuan, minuman keras itu dimuatkan di dalam empat lori tanpa pemandu di pekarangan gudang terbabit,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang, di sini, semalam.

Menurutnya minuman keras terbabit diseludup dan dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, Selangor tanpa prosedur pengimportan sah bagi tujuan penjualan di pasaran tempatan dengan harga lebih murah.

Beliau berkata minuman keras pelbagai jenama tersebut diklasifikasi sebagai Barang Larangan Import yang tertakluk di bawah jadual ketiga Bahagian II Item No. 3 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Katanya kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan dibawah Seksyen 74 (1) (c) Akta Eksais 1976.

“Rampasan ini antara terbesar JKDM Kelantan sejak empat tahun lalu dan kesemua rampasan ini untuk pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.

“Pasukan JKDM dari mana-mana negeri boleh bertindak mengikut maklumat dan aduan di tempat mereka walaupun kes tersebut berlaku di negeri lain,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here