BARCELONA, Sepanyol: Jude Bellingham menjaringkan gol kemenangan dramatik 3-2 Real Madrid pada aksi Clasico ke atas pasukan juara Barcelona awal pagi tadi dengan gol “asas” sekali gus menyaksikan mereka melonjak 11 mata di puncak La Liga Sepanyol.
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menyanjung sumbangan pemain tengah England itu untuk membantu Los Blancos semakin berada di ambang kejuaraan Sepanyol.
Madrid bangkit dua kali daripada ketinggalan dengan Vinicius Junior dan Lucas Vazquez menjaringkan gol untuk memadamkan jaringan Andreas Christensen dan Fermin Lopez, sebelum Bellingham merembat masuk gol kemenangan pada masa kecederaan.
“Dia tiba tepat pada masanya, dia bekerja keras dalam permainan, sudah agak lama sejak dia menyumbat gol kali terakhir dan hari ini dia menjaringkan gol yang pasti berharga dalam memenangi kejuaraan liga,” kata Ancelotti.
Barcelona, yang menghuni tangga kedua, bangkit dengan persembahan bertenaga selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Paris Saint-Germain namun impian mereka dimusnahkan oleh Bellingham.
Madrid mempamerkan semangat sama untuk kekal bersaing seperti yang mereka lakukan pada pertengahan minggu menentang Manchester City dalam laluan ke pusingan empat terbaik di Eropah, sebelum jaringan Bellingham menggamatkan penonton di Santiago Bernabeu.
Penjaring gol terbanyak Madrid dengan 21 gol dalam semua pertandingan, bekas pemain Borussia Dortmund itu menyumbat dua gol ketika kemenangan Clasico ke atas Barcelona Oktober lalu dan menyinar dalam musim sulungnya di Sepanyol sekalipun baru berusia 20 tahun.
“Kami membuat langkahan besar ke arah kejuaraan La Liga,” kata Vazquez, yang menjadi kunci kepada semua tiga gol Madrid, kepada Real Madrid TV.
“Kami mempunyai musim yang bagus, kami berada di laluan yang amat bagus, kini kami hanya perlu menggilapnya dan akan melakukan segala-galanya.
– AFP,BH Online –
Imedikel TV






