Ankara: Seramai 13 individu ditahan susulan insiden kabin kereta kabel pecah selepas berlanggar dengan tiang, kelmarin yang mengorbankan seorang penumpang dan tujuh cedera.
Nahas di bandar Antalya, selatan Turkiye itu turut menyebabkan hampir 200 orang terperangkap sebelum diselamatkan dalam operasi hampir 24 jam.
Menteri Kehakiman Tunc Yilmaz memberitahu media, pendakwa raya melancarkan siasatan dan mengarahkan penahanan semua individu itu, termasuk pegawai syarikat swasta yang menguruskan kereta kabel di pergunungan Tunektepe.
Operasi menyelamatkan mangsa terperangkap tamat pada Sabtu selepas petugas berjaya memindahkan baki puluhan penumpang yang tergantung di udara selama 23 jam.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (Afad), Okay Memis menyifatkan operasi menyelamat sangat berbahaya.
“Baki 43 penumpang yang terperangkap di udara akhirnya dapat diselamatkan pada lewat Sabtu.
“Setakat ini semua 174 penumpang termasuk kanak-kanak sudah berjaya dikeluarkan daripada sekurang-kurangnya 16 kabin kereta kabel,” katanya.
Memis berkata, kemalangan itu berlaku selepas struktur di bahagian atas tiang kereta kabel patah dan mendorong pelanggaran dengan sebuah kabin.
Sementara itu, media tempatan melaporkan ada mangsa yang diselamatkan selepas terperangkap 21 jam dilihat melakukan sujud syukur selepas keluar daripada helikopter penyelamat.
Sebanyak 10 helikopter dan lebih 600 petugas menyelamat termasuk pakar gunung terbabit operasi berkenaan, kata pihak berkuasa. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






