NEW JERSEY: Jaringan awal Lorenzo Pellegrini dan rembatan lewat permainan Nicolo Barella memberikan Itali kemenangan 2-0 ke atas Ecuador dalam aksi persahabatan di Red Bull Arena.
Pengendali Italia, Luciano Spalletti merombak keseluruhan kesebelasan utamanya ketika kemenangan 2-1 ke atas Venezuela pada Khamis – perlawanan pertama daripada dua aksi persahabatan di Amerika Syarikat.
Pellegrini meletakkan Itali di depan seawal minit ketiga. Nicolo Zaniolo hampir menambah jaringan tetapi dinafikan penjaga gol Ecuador, Javier Burrai.
Ecuador tampil lebih garang di babak kedua, dengan penjaga gol Itali, Guglielmo Vicaro terpaksa menafikan rembatan dari luar kotak penalti Gonzalo Plata.
Di akhir masa kecederaan, serangan balas Itali membuahkan hasil apabila Barella melambung bola melepasi Burrai.
Spalletti berkata jelajah di Amerika Syarikat memberi isyarat positif setakat ini dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan Eropah pada Jun di Jerman.
“Kami memberikan persembahan baik, masih ada yang perlu diperbaiki dalam tempoh singkat ini, tetapi perlawanan-perlawanan ini membantu kami membuat analisis dan menemui sesuatu yang positif,” kata Spalletti.
Itali akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan pada Jun, menentang Turkiye dan Bosnia, sebelum berangkat ke Jerman.
Itali diundi bersama Sepanyol, Albania dan Croatia dalam Kumpulan B Euro 2024 yang bermula pada 14 Jun nanti. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






