Home Luar Negara 5 ANGGOTA TENTERA PERU MATI LEMAS

5 ANGGOTA TENTERA PERU MATI LEMAS

243
0

Lima anggota tentera Peru lemas selepas terjun ke dalam sungai yang suhunya di bawah takat beku ketika melarikan diri daripada penunjuk perasaan antikerajaan di selatan negara itu, kata Kementerian Pertahanan semalam.

Seorang lagi anggota tentera yang cuba melarikan diri melalui laluan sama selepas pertempuran dengan penunjuk perasaan kelmarin masih hilang dengan pencarian sedang giat dijalankan.

Kumpulan tentera berkata, mereka diserang oleh penunjuk perasaan yang bersenjatakan lastik dan kayu pada demonstrasi menentang kerajaan pimpinan Presiden Dina Boluarte di bandar Ilave, dekat wilayah Puno.

Puno menjadi pusat demonstrasi sejak tunjuk perasaan pertama tercetus pada Disember lalu apabila presiden ketika itu, Pedro Castillo digulingkan dan ditahan selepas cuba membubarkan Parlimen dan memerintah melalui dekri.

Penyokongnya menuntut peletakan jawatan Boluarte, pilihan raya umum dan perlembagaan baharu, selain pembubaran Parlimen.

Pejabat Ombudsman Hak Asasi Manusia Negara memaklumkan, lebih 50 orang dilaporkan terkorban dengan angka yang cedera melepasi 1,300 mangsa, hampir separuh daripada mereka adalah anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam pertempuran itu.

Mangsa terbaru anggota tentera dikenal pasti sebagai Franz Canazas, Alex Quispe Serrano, Elvis Pari, Elias Lupaca dan Percy Castillo.

Mayat mereka sudah dikeluarkan dari Sungai Ilave, salah satu anak sungai yang menuju ke Tasik Titicaca, terletak di sempadan antara Peru dan Bolivia.

Dalam video yang dikongsi oleh kementerian, seorang tentera yang berjaya melarikan diri berkata, dia dan rakan sepasukannya ‘menyeberangi sungai… kerana tidak ada jalan keluar lain’.

“Sekitar 800 hingga 900 orang mengepung dan mula membaling batu ke arah kami.

“Orang ramai menggelar kami menerima rasuah dan pembunuh,” katanya ketika duduk bersama tentera lain dalam keadaan berselimut.

Tambahnya, mereka telah cuba membentuk rantaian ketika terjun ke dalam sungai itu, tetapi ‘arus terlalu deras menyebabkan beberapa tentera mula lemas’.

Sebuah kumpulan penjagaan kesihatan di Puno berkata, pada Ahad, pihaknya merawat lima anggota tentera kerana hipotermia selepas penduduk tempatan menyelamatkan mereka dari sungai. 

Sumber: BH Online & AFP

— Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here