Oleh: Nur Athirah Azman@Imedikel TV
BACHOK: Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menjangkakan pencapaian jumlah miskin dan miskin tegar adalah sifar pada Disember 2024 ini.
Pengarah ICU JPM, Jasri Kasim, berkata berdasarkan statistik februari ini, jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin, miskin tegar di Kelantan mencapai penurunan daripada 12,280 kepada 5,473 orang.
“Kita target di akhir Disember nanti akan tercapainya miskin tegar sifar dan akan perbanyakkan hubungan dengan ketua masyarakat untuk membantu mereka keluar daripada kemiskinan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Jelajah eKasih@Pantai Irama di Dataran Perahu, Pantai Irama, Bachok, di sini, hari ini.
Katanya, pihak ICU JPM tidak henti dalam menyantuni keperluan KIR miskin dan miskin tegar selaras dengan hasrat kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan.
Jelas Jasri, pada hari ini, sebanyak lima keluarga termasuk dalam cadangan untuk dibantu menerusi Bantuan Bina Baharu Rumah dan Baik Pulih Kasih Ihsan ICU JPM yang masing-masing bernilai Rm80,000 dan Rm25,000 serta Rm500 diagihkan bagi setiap keluarga.
“Kita menziarahi beberapa keluarga kategori miskin, miskin tegar dan ada beberapa bantuan yang telah kita berikan seperti bina rumah baru dan baiki rumah,” katanya.
IMedikel TV






