Los Angeles: Video seorang lelaki melakukan rompakan pada siang hari di Apple Store di Amerika Syarikat, tular di media sosial.
Dalam klip itu, seorang lelaki bertopeng dan memakai pakaian hitam pergi dari meja ke meja di premis itu, merentap telefon daripada wayarnya dan meletakkannya ke dalam poketnya.
Dia mengambil berpuluh-puluh telefon, berharga ratusan dolar setiap satu, sebelum keluar tergesa-gesa. Anehnya, video itu juga menunjukkan sebuah kereta polis di jalan.
Bagaimanapun, polis berkata tiada pegawai di kawasan itu ketika kejadian.
Menurut CBS News, kejadian itu pada Isnin minggu lalu di Apple Store di Emeryville, California.
Lelaki itu dikatakan melarikan kira-kira 50 iPhone yang dipamerkan di kedai itu.
Polis berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kecurian itu pada pagi Isnin.
Pemanggil memberitahu polis bahawa suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan bersama-sama telefon, yang bernilai AS$49,230 (kira-kira RM234,000).
Jabatan Polis Emeryville kemudian menjelaskan kenderaan polis dalam video itu adalah “kereta hantu,” yang mereka katakan digunakan untuk mengekang jenayah. Tiada polis di dalam kenderaan itu, kata polis.
Susulan kejadian, polis mengenal pasti suspek dalam video itu sebagai Tyler Mims, 22.
Menurut CBS, lelaki itu sudah didakwa atas tiga pertuduhan konspirasi, tiga pertuduhan pecah masuk, tiga pertuduhan kecurian besar dan tiga pertuduhan kecurian runcit terancang. – AGENSI, HMetro –
IMedikel TV






