TEL AVIV: Seramai 24 tentera Israel terkorban ketika melakukan operasi darat di Gaza pada Isnin, yang disifatkannya paling dahsyat sejak operasi itu bermula.
Mereka terkorban termasuk 21 anggota pasukan simpanan yang maut selepas bom dipasang tentera Israel pada sebuah bangunan meletup, kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Menurut IDF, pejuang Hamas melepaskan empat pelancar roket grenad (RPG) yang mencetuskan letupan terbabit.
“Skuad pejuang mengejutkan pasukan dengan tembakan RPG itu,” kata seorang jurucakap.
Sementara Laksamana Muda Daniel Hagari yang dilapor BBC berkata, roket pertama mengena bangunan di mana bom dipasang.
“Ia menyebabkan letupan berlaku yang meruntuhkan bangunan berkenaan dan bangunan di sebelahnya,” katanya.
Dalam taklimat awal, Hagari berkata, pasukan simpanan terbunuh di tengah Gaza pada 4 petang Isnin berhampiran kibbutz Kissufim di sebelah sempadan Israel.
Mereka terbabit dalam operasi membawa pulang penduduk ke selatan Israel selepas dipindahkan susulan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Pengebumian pertama bagi mereka yang terkorban dalam letupan itu diadakan di Gunung Herzl di sini.
Tentera Israel sudah mengesahkan yang tiga pegawainya terkorban dalam serangan berasingan di selatan Gaza pada Isnin.
Sementara Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, meskipun perit menghadapi kematian itu, operasi ketenteraannya akan tetap diteruskan sehingga memperoleh ‘kemenangan mutlak’. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






