LONDON: Noni Madueke menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan untuk kemenangan 2-1 Chelsea ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino, yang kini menghuni tangga ke-10 liga, mendahului permainan menerusi Mykhailo Mudryk tetapi Michael Olise kembali menyamakan kedudukan buat pelawat.
Madueke mendapatkan sepakan penalti dan menyempurnakannya pada minit terakhir permainan untuk kemenangan Chelsea.
Palace pula terus bergelut di kelompok bawah dan kekal tiga mata di atas zon penyingkiran – sekali gus menambah tekanan ke atas pengendalinya, Roy Hodgson.
Mudryk membuka jaringan pada minit ke-13 untuk gol liga ketiganya musim ini.
Pemain sayap Ukraine itu berpeluang menambah jaringan selepas mendapat umpanan Nicholas Jackson, tetapi penjaga gol Palace, Dean Henderson pantas menyelamatkan keadaan.
Chelsea bagaimanapun gagal mempertahankan kelebihan di babak pertama apabila kesilapan bentengnya membolehkan Palace menyamakan kedudukan menerusi Olise sebelum rehat.
Jackson berjaya membolosi gawang Palace tetapi gol berkenaan dibatalkan VAR kerana ofsaid dan menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah.
Perancang Palace, Eberechi Eze dipersalahkan kerana mengasari Madueke, dan kali ini keputusan VAR berpihak kepada Chelsea apabila tuan rumah diberikan sepakan penalti.
Madueke, 21, tenang mengambil sepakan untuk kemenangan ketujuh Chelsea selepas 19 perlawanan musim ini.-AFP-BH Online






