Oleh: Athirah Azman@I Medikel TV
KOTA BHARU: Banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan dalam jangka masa yang singkat kepada 21,328 orang setakat jam 8 pagi ini.
Semua mangsa banjir tersebut adalah daripada 6,876 jumlah keluarga ditempatkan di lima daerah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Tumpat.
Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas menunjukkan peningkatan mangsa banjir seramai 18,239 orang berbanding 15,623 orang semalam.
Di PPS Kuala Krai pula, merekodkan seramai 1,134 orang mangsa, Tumpat 1,510, manakala Tanah Merah 327 orang dan Gua Musang 118 orang.
Selain itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok menunjukkan trend menurun dengan 10.46 meter namun masih melebihi paras bahaya.
Setakat pagi ini, cuaca di Kelantan berada dalam kondisi yang baik.
I Medikel TV






