WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) digesa mengeluarkan larangan perjalanan ke China berikutan peningkatan ketara penyakit berkaitan pernafasan di negara itu.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, sehubungan itu, lima senator Republikan diketuai Marco Rubio, semalam meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, segera mengisytiharkan larangan perjalanan ke China sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kita harus segera menyekat perjalanan antara AS dan (China) sehingga kita mengetahui lebih lanjut mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh penyakit baharu ini,” menurut surat yang ditandatangani Rubio.
Selain beliau, yang juga anggota tertinggi Republikan dalam Jawatankuasa Perisikan Senat, empat lagi Senator termasuk JD Vance, Rick Scott, Tommy Tuberville dan Mike Braun turut menandatanganinya.
Peningkatan penyakit itu menjadi isu global minggu lalu apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta China untuk mengemukakan maklumat lanjut.
Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu merujuk kepada laporan Program Pemantauan Penyakit Baharu Muncul, mengenai radang paru-paru yang tidak didiagnosis pada kanak-kanak oleh.
Seorang pegawai pentadbiran Biden berkata, AS memantau dengan teliti peningkatan penyakit pernafasan di China, tetapi menyatakan ‘ia dilihat sebagai trend bermusim’.
Tiada apa-apa yang kelihatan luar biasa dan pada masa ini, tiada kaitan antara orang yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan AS dan wabak penyakit pernafasan di China.”
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, sebagai maklum balas kepada surat Rubio, berkata tuduhan itu adalah rekaan yang berniat jahat semata-mata dan China dengan tegas menolak dakwaan itu.
Pemangku Pengarah Jabatan Kesiapsiagaan dan Pencegahan Wabak serta Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove mengakui berlaku peningkatan penyakit berkaitan pernafasan awal minggu ini.
Namun, jelas beliau, peningkatan itu dikesan didorong oleh peningkatan bilangan kanak-kanak yang dijangkiti patogen yang dielakkan selama dua tahun berikutan sekatan COVID-19.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, AS dan China terus meningkatkan penerbangan antara negara, walaupun bilangan itu jauh di bawah paras 2019.
Bilangan yang diluluskan meningkat pada 9 November kepada 35 penerbangan setiap minggu bagi setiap negara, iaitu meningkat daripada 12 penerbangan setiap minggu pada Ogos.
Pada Januari 2020, Presiden AS ketika itu, Donald Trump, melarang kebanyakan warga bukan AS yang berada di China daripada memasuki negara itu atas kebimbangan COVID-19, tetapi tidak menyekat penerbangan dua hala.
AS menarik balik sekatan perjalanan itu, yang belum pernah berlaku sebelum ini, terhadap pelawat antarabangsa yang diberi vaksin sepenuhnya mulai November 2021, termasuk dari China.
Negara itu juga membatalkan syarat berasingan iaitu pengembara udara perlu diuji negatif sebelum tiba ke AS, pada Jun 2022.
AS pada Januari lalu juga mula mewajibkan penumpang udara untuk mendapatkan ujian COVID-19 negatif selepas keputusan Beijing menarik balik dasar sifar COVID-19 yang ketat, namun keperluan itu dibatalkan pada Mac. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






