Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Skuad bawah 16 (B-16) Kelantan United FC (KUFC) akan berlepas ke Jepun hari ini bagi menyertai ‘Kasaoka International U-16 Friendly Tournament’ pada 4 Nov ini.
Pengarah Akar Umbi KUFC Rezal Zambery Yahya qberkata skuadnya itu akan menghadapi cabaran beberapa pasukan termasuk akademi kelab yang beraksi dalam saingan J2 League, Fagiano Okayama.

“Dua lagi akademi yang telah sah menyertai kejohanan terbabit ialah Arcobaleno FC serta Jollity Kasaoka.
“Pihak kelab menghantar pasukan muda bermain di sana bukan sekadar satu pendedahan, malah misi serampang dua mata Sang Kijang Hijau untuk menjalin kerjasama dengan kelab yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Jepun,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, satu penghormatan kepada KUFC apabila pihaknya dijemput menyertai kejohanan persahabatan antarabangsa yang disertai beberapa akademi di Jepun.
Rezal Zambery berkata penyertaan KUFC ke kejohanan ‘Kasaoka International U-16 Friendly Tournament’ akan memberi peluang kepada pemain muda akademi untuk mengembangkan karier mereka.
“Pemain juga bakal memperagakan aksi, mempamerkan bakat dan siapa tahu, bakat mereka berkemungkinan dapat menarik minat kelab di sana,” katanya.
Ujarnya secara tidak langsung, penyertaan itu mencapai objektif kelab untuk turut menjalinkan kerjasama dengan kelab lain yang bernaung dalam saingan utama Liga Bola Sepak di Negara Jepun.
“Pendedahan dalam kejohanan sebegini adalah salah satu langkah masa depan KUFC itu sendiri bagi membangunkan sukan bola sepak Kelantan dan Malaysia, khususnya dari akar umbi agar bakat muda bersedia untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kami ke sana dengan dengan kerjasama ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd serta Hassan Hardware Ketereh,” katanya.

Sementara itu, ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd & ROHM-Wako Co.Ltd adalah penaja utama dalam program membawa skuad B-16 Kelantan United Football Club ke Kasaoka Jepun melalui jalinan kerjasama yang telah bermula sejak awal tahun 2023.
Pelbagai persiapan telah dibuat bagi memastikan skuad yang terbaik akan dibawa untuk bertanding ke kejohanan di Kasaoka pada November ini.
Turut bersama dengan pasukan Kelantan United B-16 ke kejohanan tersebut adalah wakil ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd iaitu Noor Zulhaziman Mohd Noor yang juga Pengurus pasukan ini dan Kazuya Kasahara selaku koordinator program.
IMedikel TV






