LONDON: Seorang lelaki dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah kerana membunuh isterinya, Valentina Cozma dengan membakarnya, lapor The Daily Mirror.
Lelaki berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh, tetapi juri di Mahkamah Stafford Crown berpendapat sebaliknya.
Georgian Constantin didakwa menuang petrol ke atas Valentina, 40, dan membakarnya di dapur rumahnya pada 9 Februari lalu, dengan hasil bedah siasat mendapati dia meninggal dunia akibat kesan kebakaran.
Polis memburu Constantin selepas dia mengaku melakukan pembunuhan itu dalam catatan Facebook yang kemudian dipadam.
Dia bagaimanapun ditangkap di sebuah alamat di London lima hari kemudian kira-kira 241 kilometer (km) dari rumahnya.
Difahamkan, Constantin bertindak sedemikian kerana mahu membalas dendam terhadap wanita itu kerana memutuskan hubungan mereka dan memulakan hubungan baru.
Dia juga disabitkan bersalah kerana membuat ugutan untuk membunuh teman lelaki baru Valentina iaitu Dita Costell.
Constantin turut dipenjarakan selama dua tahun serentak kerana mengancam untuk membunuh lelaki terbabit.
Hakim Kristina Montgomery KC berkata Constantin tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas tindakannya itu.
“Valentina berusia 40 tahun ketika kematiannya. Dia adalah ibu yang setia kepada anaknya. Semua bercakap mengenai kebaikan dirinya. Dia seorang wanita yang prihatin, menyokong dan mengambil berat orang lain sebelum dirinya.
“Kehilangannya dan keadaan di mana dia dibunuh menyebabkan penderitaan kepada mereka yang menyayanginya. Rasa kehilangan mereka yang tidak akan dapat diperbaiki. Anak lelakinya terpaksa membesar dengan dunia baru dalam ketiadaan kedua ibu bapanya,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






