Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
BACHOK: Ramai pemilik si bulus sanggup menghabiskan ribuan ringgit sebulan demi memastikan si bulus kelihatan lebih sihat dan cantik.
Pemilik kucing British Short Hair, Nor Hisyamudin Ismail, 43, dari Pengkalan Chepa, berkata dia tidak kisah perlu berhabis ribuan ringgit asalkan 25 ekor kucing peliharaannya terjaga rapi.

“Setakat ini saya mempunyai sebanyak 25 ekor kucing baka British Short Hair dan saya memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1,000 setiap bulan bagi dandanan serta makanan mereka.
“Sebagai seorang pencinta kucing, kita perlu meluangkan masa yang berkualiti untuk mereka bagi memastikan mereka dalam keadaan baik,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Cat Walk Fun Run di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, baru-baru ini.
Hisyamudin berkata, dia bersepakat bersama sahabatnya Heikal Zahari, 30, dari Kota Bharu untuk membawa kucing peliharaan mereka menyertai program “Cat Walk” yang pertama kali diadakan di sekitar negeri Che Siti Wan Kembang itu.

“Saya perasan kucing yang saya bawa ini mengalami ketidakselesaan sedikit kerana biasanya ia berada di tempat yang mempunyai penghawa dingin namun hari ini perlu berada di tempat yang panas,”katanya.
Menurutnya, kucing yang diberi nama Breedtish Billie Blossom itu berusia enam bulan dengan beratnya lebih kurang 2.4 kilogram (kg).
IMedikel TV






