Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menghalang 83 warga asing yang cuba memasuki negara ini tanpa mematuhi peraturan imigresen sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) itu dilaksanakan di dua pintu masuk utama negeri ini iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

“Daripada jumlah itu, 76 kes direkodkan di ICQS Pengkalan Kubor, manakala tujuh kes di ICQS Bukit Bunga.
“Bagi ICQS Pengkalan Kubor, warga Thailand mencatat jumlah tertinggi dikenakan tindakan iaitu 63 orang, diikuti Kemboja 12 dan Laos 1.
“Sementara itu, semua kes di ICQS Bukit Bunga membabitkan warganegara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan NTL dikenakan terhadap individu asing yang gagal mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, gagal menjelaskan tujuan atau disyaki menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan.
“JIM Kelantan akan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,”tegas beliau.
Mohamed Yusoff turut mengingatkan pelawat asing supaya mematuhi sepenuhnya peraturan imigresen sebelum merancang perjalanan ke Malaysia, bagi mengelak tindakan undang-undang atau sekatan kemasukan.
IMedikel TV






