Home Buletin Semasa KPDN PASTIKAN KOMUNITI ORANG ASLI DI KELANTAN TERUS NIKMATI BUDI95

KPDN PASTIKAN KOMUNITI ORANG ASLI DI KELANTAN TERUS NIKMATI BUDI95

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah @IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) memastikan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Kelantan terus mendapat akses kepada petrol RON95 pada harga kawalan RM1.99 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI 95).

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata setakat ini terdapat tiga lokasi di negeri ini yang tersenarai di bawah Program Komuniti Madani termasuk dua kawasan penempatan Orang Asli iaitu di Pos Brooke dan Kuala Betis di Gua Musang.

Beliau berkata, kedua-dua lokasi tersebut membolehkan penduduk setempat membeli petrol pada harga kawalan menerusi kedai yang dilantik di bawah program itu.

“Kita ada tiga tempat di Kelantan di bawah Program Komuniti Madani bagi keseragaman barang kawalan salah satunya ialah petrol.

“Dua kawasan penempatan itu ialah di Pos Brooke dan Kuala Betis di Gua Musang. Dua tempat ini kita sudah bagi arahan supaya kedai-kedai yang dilantik itu menjual petrol pada harga RM1.99 seliter dengan syarat mereka pemegang MyKad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Perasmian Program Penandaan Harga Warna Merah Jambu Bagi Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di Mydin Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Beliau berkata penjualan itu perlu dilakukan secara manual memandangkan kawasan itu berada di pedalaman dan jumlah bekalan harian juga kecil iaitu sekitar 100 hingga 200 liter sehari.

“Penjualan masih secara manual sebab di pendalaman jualan mereka tidak banyak mungkin dalam anggaran 100 hingga 200 liter sahaja sehari. Sebab penggunaannya memang terhad.

“Jualan secara manual itu juga bagi mengelak penyalahgunaan pihak tidak bertanggungjawab, termasuk warga asing, memandangkan Pos Brooke bersempadan dengan Lojing dan Cameron Highlands yang mempunyai ramai pekerja asing,”katanya.

Katanya lagi, KPDN turut meminta kerjasama penduduk tempatan agar melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang atau aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi kepada pejabat KPDN yang terdekat untuk tindakan lanjut.

“Kita harap masyarakat setempat dapat bantu pantau dan maklumkan kepada kami jika ada penjualan yang mencurigakan. Tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here