Home Luar Negara 7 MAUT DALAM LETUPAN DI KABUL

7 MAUT DALAM LETUPAN DI KABUL

KABUL: Sekurang-kurangnya tujuh maut, manakala puluhan lagi cedera susulan insiden letupan di restoran Cina dekat pusat bandar Kabul, semalam.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran, berkata letupan berlaku di restoran ‘Chinese Noodle’, kebanyakannya menyajikan hidangan untuk masyarakat Cina Muslim.

Punca kejadian, katanya, masih dalam siasatan, selain sebelum ini, memaklumkan letupan berkenaan turut menjejaskan sebuah hotel.

“Seorang Cina Muslim, Ayub, dan enam warga Afghanistan maut, manakala beberapa lagi cedera.

“Letupan berlaku berhampiran dapur,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, kumpulan pengganas Daesh (IS) dalam kenyataan, mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu, selain memaklumkan ia adalah serangan bunuh diri yang menyasarkan warga China, seperti dilaporkan ‘SITE Intelligence Group’.

“Kumpulan Daesh di Afghanistan meletakkan warga China dalam senarai sasaran mereka, terutama susulan lonjakan jenayah dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Muslim Uyghur,” katanya.

Tinjauan AFP pula mendapati kenderaan polis dan ambulans di lokasi kejadian susulan letupan di sebuah jalan yang terkenal dengan penjual bunga di kawasan Shahr-e-Naw.

Beberapa jam selepas letupan, jalan itu dibuka semula bagi lalu lintas, selain tingkap bangunan sebarang juga pecah.

Pengarah pertubuhan bukan kerajaan Itali, EMERGENCY, Dejan Panic, berkata ‘tujuh mayat serta 13 lagi mangsa dirawat di unit pembedahan’ dekat hospital milik NGO itu yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Antara yang cedera ialah empat wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.

Pemilik kedai bunga yang enggan identiti didedahkan pula berkata, dia terdengar bunyi kuat di kawasan sesak itu dengan letupan berlaku di hujung jalan berlainan dari premisnya, kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan).

“Ia sangat mencemaskan. Semua bimbang nyawa masing-masing. Saya lihat sekurang-kurangnya lima orang cedera,” katanya.

Pegawai Taliban berikrar memulihkan keselamatan di negara itu dan sedang menarik pelabur asing bagi memastikan aliran pendapatan penting apabila dana bantuan luar semakin berkurangan.

Pelawat perniagaan dari China mula membanjiri Afghanistan sejak kerajaan Taliban mengambil alih kuasa kali kedua pada 2021.

Pada tahun berikutnya, kumpulan Daesh mengaku bertanggung jawab terhadap serangan maut di hotel dekat Kabul yang popular dalam kalangan pengunjung China.

China yang berkongsi sempadan berbukit sepanjang 76 kilometer dengan Afghanistan, memiliki hubungan rapat dengan kerajaan Taliban. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here