Home Buletin Semasa 634 OPERASI SAR DIREKODKAN DI PANTAI TIMUR, LEBIH 1,500 MANGSA BERJAYA DISELAMATKAN

634 OPERASI SAR DIREKODKAN DI PANTAI TIMUR, LEBIH 1,500 MANGSA BERJAYA DISELAMATKAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Sebanyak 634 operasi mencari dan menyelamat (SAR) direkodkan di Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dengan 1,545 daripada 1,953 mangsa berjaya diselamatkan.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, daripada jumlah keseluruhan mangsa itu, seramai 248 masih gagal ditemui, manakala 160 lagi ditemukan meninggal dunia.

“Statistik itu membuktikan cabaran operasi SAR di laut masih tinggi dan memerlukan tahap kesiapsiagaan yang berterusan serta kerjasama erat semua agensi berkaitan.

“Justeru, latihan seperti Search and Rescue Exercise (SAREX) Jong Semerak 2026 amat penting bagi memastikan setiap agensi bersedia bertindak balas secara pantas, cekap dan berkesan apabila berdepan insiden sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program SAREX Jong Semerak 2026 yang berlangsung selama dua hari di perairan Tok Bali, hari ini.

Mazlan berkata, latihan yang bermula semalam itu dianjurkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan bersama Maritim Malaysia Kelantan bagi menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) mencari dan menyelamat maritim serta Arahan NADMA No. 1.

Katanya, latihan itu turut menguji keberkesanan sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS999) sebagai nadi utama penyelarasan maklumat kecemasan bersepadu yang menghubungkan lima agensi penyelamat utama.

“Ia membabitkan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, seramai kira-kira 200 pegawai dan anggota daripada 23 jabatan serta agensi kerajaan, swasta dan komuniti maritim terlibat dalam latihan itu dengan sokongan 20 aset strategik meliputi laut, darat dan udara.

“Pelibatan semua aset dan anggota ini membuktikan bahawa operasi mencari dan menyelamat memerlukan pendekatan secara keseluruhan di mana setiap agensi memainkan peranan mengikut kepakaran masing-masing.

“Latihan berkenaan dimulakan dengan table-top exercise sebelum diteruskan dengan field training exercise yang mensimulasikan insiden kecemasan melibatkan jumlah mangsa yang ramai di perairan Tok Bali,”katanya.

Katanya, simulasi itu menguji tindakan semua agensi bermula daripada penerimaan maklumat kecemasan melalui NG MERS999, pengesahan maklumat, pengaktifan pusat operasi, penugasan aset, pelaksanaan operasi SAR, rawatan awal mangsa sehingga proses pemindahan mengikut SOP yang ditetapkan.

Mengulas mengenai tempoh tindak balas operasi, beliau berkata Maritim Malaysia menetapkan sasaran untuk memberi respons terhadap laporan kecemasan di laut dalam tempoh dua jam.

“Tempoh dua jam itu bukan bermaksud mangsa mesti diselamatkan dalam masa tersebut, sebaliknya aset akan digerakkan atau koordinasi dibuat dengan komuniti maritim yang berada paling hampir dengan lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal,” katanya.

Mengulas cabaran yang dihadapi, Mazlan berkata antara kekangan utama ialah penyelenggaraan aset yang semakin berusia, namun beliau menegaskan keupayaan operasi Maritim Malaysia masih berada pada tahap bersedia.

“Walaupun tidak semua aset boleh digerakkan pada satu-satu masa kerana perlu menjalani penyelenggaraan berkala, komitmen Maritim Malaysia untuk melaksanakan operasi dan menyelamatkan nyawa tidak pernah berkurang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here