Home Buletin Semasa 6 LELAKI DITAHAN GALI PASIR HARAM, RAMPASAN RM2 JUTA

6 LELAKI DITAHAN GALI PASIR HARAM, RAMPASAN RM2 JUTA

310
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Enam lelaki termasuk warga asing ditahan dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Pahi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perlombongan pasir haram tanpa permit, pada Ahad.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 4.15 petang itu adalah bagi membanteras aktiviti pemindahan sumber mineral tanpa kebenaran sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai enam lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan tiga warga Bangladesh sedang menjalankan aktiviti menyedut dan memindahkan pasir tanpa sebarang permit atau dokumen pemindahan sah.

“Kesemua suspek ditahan dan pelbagai peralatan serta jentera termasuk rumah penyedut pasir, jentera penggali (excavator), lori serta peralatan lain yang digunakan turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Nik Ros Azhan kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 dan suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan PGA akan terus mempertingkatkan operasi serta pemantauan bagi memastikan kegiatan haram seperti ini tidak berleluasa dan merosakkan sumber alam negara.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here