Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan penyeludupan kelapa seberat lebih 45 tan dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Terbak, kelmarin.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Batalion 8 PGA mengesan sebuah treler dan dua lori dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 12.30 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan sedang memindahkan kira-kira 45,100kilogram kelapa dari treler ke lori tanpa sebarang dokumen pembelian sah.
“Rampasan termasuk kelapa dan kenderaan dianggarkan bernilai RM1.35 juta dan diserahkan kepada Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya kes disiasat di bawah Peraturan 4(2) Akta FAMA 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.
Beliau menegaskan PGA akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras penyeludupan hasil pertanian di kawasan sempadan negara.
IMedikel TV






