Home Sukan AMORIM TAHU CARA NAK SELAMATKAN UNITED MUSIM DEPAN

AMORIM TAHU CARA NAK SELAMATKAN UNITED MUSIM DEPAN

198
0

LONDOM: Ruben Amorim berkata beliau tahu bagaimana untuk memperbaiki Manchester United dan itu akan membantunya untuk mengatasi kemerosotan kelab itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, meskipun berjaya membawa United ke perlawanan akhir Liga Europa, Amorim mengakui bahawa beliau mungkin akan berundur musim depan sekiranya masalah dalam liga domestik terus berlarutan, selepas kekalahan di tempat sendiri kepada West Ham yang menyebabkan pasukannya jatuh ke kedudukan 16 dalam carta liga.

Namun, Amorim mendakwa beliau memaklumkan kepada pihak pengurusan kelab mengenai pelan yang akan dilaksanakan musim panas ini, ketika United bersedia untuk memulakan satu lagi proses pembinaan semula pasukan.

“Saya berbincang dengan lembaga pengarah, dengan semua pihak malah juga dengan penyokong pada setiap masa.

“Saya mempunyai keyakinan yang jelas bahawa saya tahu apa yang diperlukan oleh pasukan ini untuk menjadi jauh lebih baik, dan itu membantu saya untuk kekal stabil, tidak terlalu terjatuh atau terlalu teruja dalam sesetengah keadaan,” katanya.

Amorim mengukuhkan lagi kenyataannya selepas perlawanan menentang West Ham, dengan mengakui bahawa prestasi United dalam EPL adalah “memalukan” dan “tidak boleh diterima”.

“Sukar untuk saya cari perkataan lain. Saya benar-benar malu kerana dalam 25 perlawanan, kami hanya menang enam.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kami bermain bola sepak, dan kadang-kadang ia bukan tentang aspek taktikal dan teknikal.”

“Ia berkaitan dengan cara kami menghadapi saingan, cara kami menanggung kekalahan, cara kami menunjukkan kemarahan apabila tewas, dan bagaimana kami mempertahankan gawang.

“Semua ini perlu diperbaiki, dan kadangkala ia bukan sahaja berlaku di atas padang, tetapi juga di luar padang.”

“Perasaan yang saya maksudkan ini adalah semangat untuk berjuang hingga ke penghujung, cara kami menghadapi pertandingan. Kalah bukan sesuatu yang boleh diterima, begitu juga dengan keputusan seri.”

“Kedudukan kami sekarang tidak boleh diterima dan bagi saya, ini bukan isu kurang keyakinan, tetapi kekurangan sesuatu yang jauh lebih mendalam,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here