JAKARTA: Lebih 500 rakyat Indonesia yang diselamatkan dari pusat penipuan dalam talian di Myanmar akan dihantar pulang melalui Thailand dalam masa terdekat, kata seorang pegawai kanan Indonesia kepada AFP, hari ini.
Operasi penipuan siber yang berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar sehingga tidak terkawal selama beberapa tahun, menarik pekerja asing dengan janji pekerjaan bergaji tinggi, tetapi sebaliknya ditahan dan dipaksa melakukan penipuan dalam talian.
Kira-kira 7,000 pekerja dari sekurang-kurangnya 24 negara diselamatkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, dengan majoriti berasal dari China.
Namun, ramai masih terperangkap di kem sementara yang daif di sempadan antara Myanmar dan Thailand.
Seramai 400 rakyat Indonesia akan dihantar pulang hari ini, sementara kira-kira 161 lagi dijadualkan kembali esok, kata Pengarah Perlindungan Warganegara di Kementerian Luar Indonesia, Judha Nugraha, kepada AFP.
Katanya, mereka akan kembali ke tanah air melalui tiga penerbangan dari Bangkok selepas menyeberangi sempadan dari Myanmar ke Thailand.
Bulan lalu, pihak berkuasa Indonesia menghantar pulang 140 warganya dari Myanmar melalui Thailand.
Di bawah tekanan daripada sekutu mereka, China, pihak berkuasa Myanmar mengambil tindakan terhadap pusat penipuan itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan rakyat Indonesia terpengaruh untuk bekerja di negara-negara Asia Tenggara lain dengan tawaran gaji lebih tinggi, tetapi akhirnya terperangkap dalam sindiket penipuan rentas negara.
Menurut data Kementerian Luar Indonesia, antara tempoh 2020 hingga September tahun lalu, Jakarta sudah menghantar pulang lebih 4,700 rakyatnya yang terjerat dalam operasi penipuan dalam talian dari negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 120,000 orang dengan kebanyakannya lelaki warga China mungkin bekerja di pusat penipuan di Myanmar secara paksa. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






