Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas hampir lima tan barang kawalan yang disimpan di sebuah premis di Lebuhraya Pasir Mas – Rantau Panjang, di sini, pada Ahad.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan ke atas premis dilakukan kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN cawangan Pasir Mas.
“Rampasan membabitkan barang kawalan termasuk gula, minyak dan gandum dengan nilai keseluruhan RM53,000.
“Seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis ketika diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.
“Menerusi operasi itu, kami turut menahan sebuah lori jenis Fuso selepas mendapati beberapa individu sedang memunggah barang kawalan ke dalam premis,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Azman berkata terdapat lebih 1.8 tan gula pasir seberat 1,704 kilogram di dalam lori berkenaan yang sepatutnya dihantar berdasarkan penyata tempahan di Pasir Mas, namun dialihkan ke lokasi lain tanpa kebenaran.
Jelasnya, kesemua barang kawalan dan lori terbabit disita dan akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak disalahgunakan dan sampai kepada pengguna yang berhak.
IMedikel TV






