Home Luar Negara 55 TERBUNUH AKIBAT BANJIR DI BANGLADESH

55 TERBUNUH AKIBAT BANJIR DI BANGLADESH

200
0

CHITTAGONG: Sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh dan lebih sejuta lagi terjejas akibat hujan lebat selama dua minggu yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di tenggara Bangladesh.

Memetik laporan AFP menerusi BH Online Ketua Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman berkata bencana yang berlaku sejak 1 Ogos mengorbankan 21 orang di Cox’s Bazar, Chittagong (19), Bandarban (10) dan lima di Rangamati.

“Ini adalah hujan lebat paling teruk pernah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan 312 milimeter (mm) hujan direkodkan sehari pada 7 Ogos lalu,” katanya kepada AFP.

Menurutnya, hujan lebat yang melanda wilayah itu hingga 11 Ogos lalu, mencetuskan banjir kilat yang menyebabkan sungai melimpah dan menenggelamkan ratusan kampung. Jumlah mangsa yang terkorban hanya dapat disahkan selepas air banjir mulai surut.

Pentadbir daerah, Shaheen Ibrahim, memberitahu AFP bahawa di Cox’s Bazar saja sekitar 600,000 mangsa terjejas akibat banjir, yang turut menjadi kem pelarian terbesar di dunia menempatkan sejuta etnik Rohingya yang lari daripada kekejaman junta tentera Myanmar.

“Terdapat sekitar 36 kem pelarian yang dibina di kawasan hutan dan lereng bukit di Cox’s Bazar. Setakat ini, sekurang-kurangnya 21 orang disahkan maut di sini,” katanya.

Pesuruhjaya pelarian, Mizanur Rahman, berkata empat etnik Rohingyas terbunuh termasuk seorang ibu dan bayinya yang tertimbus dalam tanah runtuh.

Ratusan perkampungan tenggelam di Chittagong, bandar kedua terbesar Bangladesh yang juga menempatkan pelabuhan terbesar dan menurut penduduk, dilanda banjir terburuk sejak beberapa dekad lalu.

Pentadbir daerah, Abul Bashar Mohammed Fakhruzzaman, berkata banjir memusnahkan sekurang-kurangnya 5,000 rumah dan menjejaskan kehidupan 45,000 penduduk termasuk 19 terkorban setakat ini.

Pengangkutan antara Chittagong dan Cox’s Bazar terputus selama beberapa hari dan landasan kereta api yang baru dibina turut musnah teruk manakala banjir kilat di kawasan berbukit Bandarban meragut 10 nyawa.

Pegawai kanan kerajaan, Shahina Sultana, berkata pihak berkuasa Bangladesh sudah menghantar bantuan makanan ke kawasan paling teruk terjejas, namun kemusnahan yang berlaku amat besar dan kerajaan berusaha menanganinya. – AFP, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here