Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Sakit belakang kini menjadi antara masalah kesihatan yang paling kerap dialami masyarakat, dan ia tidak lagi terhad kepada golongan warga emas.
Semakin ramai individu muda turut mengadu mengalami masalah ini, termasuk pelajar sekolah dan pekerja pejabat.
Sekiranya akit belakang tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjadi kronik dan menjejaskan rutin harian serta kualiti hidup seseorang.
Tambahan pula, tumpuan semasa bekerja juga boleh terganggu dan menyebabkan kebergantungan kepada ubat tahan sakit.
Terdapat empat punca utama sakit belakang:
1.Postur badan salah
Cara berdiri dan berjalan dengan postur badan yang salah akan membeban satu-satu bahagian badan yang akan menyebabkan sakit pada bahagian belakang badan.
2. Faktor pekerjaan
Pekerjaan yang membabitkan mengangkat, menolak dan menarik beban terlalu berat atau memusingkan badan boleh menyebabkan kecederaan dan sakit belakang.
3. Gaya hidup
Gaya hidup yang tidak aktif akan cenderung kepada meningkatnya ketegangan sendi dan boleh menyebabkan otot menjadi lemah sekali gus menyebab atau memburukkan lagi sakit belakang.
4. Tekanan kerja
Kerja yang memberi tekanan minda akan cenderung untuk menimbulkan stres. Jika stres berlaku terlalu kerap atau berpanjangan, ia boleh membawa kepada masalah otot (muscle tension). Bahagian belakang mengandungi pelbagai otot yang berkemungkinan mengalami masalah (muscle tension) ini.
Oleh itu, setiap individu perlu mencegah awal dengan memastikan posisi duduk yang betul, melakukan senaman regangan secara berkala serta mengamalkan gaya hidup aktif.
Pemeriksaan kesihatan berkala juga disarankan bagi mengenal pasti sebarang masalah tulang belakang sebelum menjadi lebih serius.
IMedikel TV






