Home Buletin Semasa 4 KEMATIAN AKIBAT KOMPLIKASI DEMAM DENGGI DILAPORKAN PADA ME 29

4 KEMATIAN AKIBAT KOMPLIKASI DEMAM DENGGI DILAPORKAN PADA ME 29

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 2,690 kes pada Minggu Epidemiologi ke-29 (ME 29) iaitu bagi tempoh 14 Julai hingga 20 Julai berbanding 2,373 kes pada minggu sebelumnya, dengan empat kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam suaatu kenyataan, berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 29 adalah sebanyak 83,131 kes berbanding 66,224 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Terdapat 69 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 47 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-29 adalah sebanyak 94 lokaliti berbanding 100 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari 94 lokaliti yang dilaporkan, 71 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di WPKL & Putrajaya, enam lokaliti di Perak, empat lokaliti di Negeri Sembilan, empat lokaliti di Kedah, dua lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada ME. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 58 kes.

“Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada ME 29. Bagi survelan zika, sebanyak 1,505 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dr Muhammad Radzi, berkata pencegahan demam denggi memerlukan tindakan bersama termasuk menjalankan aktiviti gotong-royong secara berkala.

“Semua rakyat Malaysia, sama ada dari agensi kerajaan, swasta, komuniti, atau badan bukan kerajaan (NGO), disarankan untuk bersama-sama menjadikan One Hour Malaysia Clean Up sebagai aktiviti bulanan.

“Mekanisma pelaksanaannya adalah pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan dan dilaksanakan sekurang-kurangnya satu jam pada setiap sesi.

“Pupuklah sikap dan tabiat prihatin dalam kalangan anggota keluarga dan masyarakat agar sentiasa menjaga kebershan diri dan persekitaran. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,”katanya.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here