Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KINABATANGAN: Kementerian Perdaganan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka satu gerakan semasa untuk melibatkan orang ramai dalam memerangi penyelewengan barang bersubsidi di Sabah dan Sarawak.
Menurut menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam suatu kenyataan keutamaan akan diberikan kepada barang kawalan bersubsidi bahan api diesel dan RON95.
“Selain memastikan subsidi ini dimanfaatkan oleh rakyat khususnya golongan sasar, gerakan ini dilaksanakan susulan daripada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung Malaysia.
“Keputusan pengecualian Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam penyasaran subsidi diesel pada masa ini dibuat mengambil kira pelbagai faktor,”katanya dalam kenyataan.
Katanya antara faktor utama pengecualian dibuat pada masa ini adalah kebergantungan tinggi para pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel, mengambil kira kadar bahan barangan dan perkhidmatan di Sabah, Darawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang sememangnya lebih tinggi berbanding Semenanjung serta tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk pemprofilan penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengankutan awam serta barangan.
“Atas faktor tersebut, kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Dianggarkan subsidi bahan api bagi ketiga-tiganya bagi tahun 2024 mencecah RM3.6 billion,”katanya.
Tambahnya kerajaan tidak pernah menafikan ketirisan yang meliputi penyelewangan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesan mekanisme penguatkuasaan. – KPDN –
Imedikel TV






