Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 139 warga asing dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan menerusi Ops Bersama bersama agensi penguatkuasaan serta Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM Sabah, seramai 247 individu diperiksa sepanjang operasi tersebut, dengan 139 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Daripada jumlah yang ditahan, seramai 129 merupakan warga Filipina membabitkan 32 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan. Turut ditahan ialah 10 wanita warga Vietnam.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” menurut kenyataan hari ini.
Menurut JIM Sabah, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di negeri ini.
JIM itu turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
Pada masa sama, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan menjamin aspek keselamatan.
IMedikel TV






