KUALA LUMPUR: Penyanyi Zizi Kirana, 41, kini dilihat giat mempromosikan lagu selawat terbaharu, Mahallul Qiyam, yang dilancarkan secara rasmi di YouTube dan platform digital sejak 24 Mac lalu.
Menerusi perkongsian di InstaStory (IGs), Zizi mendapat pelbagai kata-kata semangat daripada netizen yang menyarankan agar beliau terus menjadikan selawat sebagai penawar jiwa.
“Selawatlah selalu, ia ibarat penawar,” komen seorang warganet berserta emoji hati. Manakala seorang lagi pengguna media sosial menyifatkan alunan selawat tersebut sangat merdu dan sering mendengarnya.
Terdahulu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, memaklumkan selawat Mahallul Qiyam itu pernah dikongsikan ketika beliau menyertai pelayaran bersama Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pada tahun lalu.
Sambutan positif daripada pengikutnya mendorong Zizi untuk merakamkan selawat berkenaan dalam versi studio. Bagi Zizi, selawat mempunyai makna yang sangat mendalam buat dirinya.
“Selawat itu bukan sekadar kata, ia adalah rindu yang dijemput pulang kepada ‘nur’ (cahaya) yang tidak pernah padam,” tulisnya puitis di media sosial.
Pada 2 April lalu, Zizi berhadapan ujian apabila ikatan rumah tangga selama lima tahun bersama bekas suami, Yusuf Bahrin, 34, berakhir dengan perceraian talak satu secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Petaling. Pasangan yang bernikah pada 19 September 2021 itu tidak dikurniakan cahaya mata. – BH Online –
IMedikel TV






