Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mempercepatkan proses bayaran balik modal kepada pengusaha stesen minyak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak apabila mereka terpaksa mengeluarkan modal untuk membayar diesel dengan harga yang tinggi.
“Sebenarnya dari segi mekanisme pembayaran itu adalah pengusaha stesen minyak dan syarikat minyak.
”Walaupun urusan tersebut melibatkan transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) namun kita ambil perhatian serius dan akan berbincang dengan MOF untuk melihat strategi serius dan penampan yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau sebelum itu merasmikan Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan di sini.
Sebelum ini, beberapa pengusaha stesen minyak dilaporkan mendakwa mereka berdepan tekanan kewangan apabila terpaksa mendahulukan kos tinggi untuk mendapatkan bekalan bahan api, sekali gus menjejaskan aliran tunai harian perniagaan mereka.
Media pada Sabtu melaporkan pengusaha stesen minyak ketika ini mendakwa terpaksa menjadi seperti ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada agihan subsidi bersasar diesel akibat mekanisme pembayaran modal tunai yang terpaksa mereka tanggung untuk membeli bekalan bahan bakar itu.
IMedikel TV






