KUALA LUMPUR: Sehari selepas menolak tawaran untuk menyertai program Road to Gold (RTG), Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama saingan Masters Jepun, hari ini.
Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu terpaksa akur apabila tunduk di tangan Anders Antonsen 18-21, 20-22 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Kumamota.
Memetik laporan menerusi berita harian,Antonsen akan bertemu pilihan ketiga kejohanan, Kodai Naraoka dari Jepun pada aksi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Kekalahan Zii Jia menyaksikan hanya tinggal Ng Tze Yong masih mengibarkan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki selepas berjaya mara ke pusingan kedua.
Tze Yong akan membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, esok.
Dia mara ke kelompok 16 terbaik selepas mengatasi Wang Tzu Wei dari Taiwan 21-12, 21-11 manakala Axelsen mengetepikan wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-11, 21-7.
Semalam, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao gagal menempatkan diri ke undian utama selepas terkandas di pusingan kelayakan.-BH ONLINE-
Imedikel TV






