KUALA LUMPUR: Beregu campuran remaja negara, Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan meneruskan rentak cemerlang di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Guwahati, India apabila mara ke pusingan keempat, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, pilihan utama kejohanan itu mara selepas menewaskan pasangan China, Wei Jian Zhen-Yu En Liang dalam aksi tiga set 10-15, 15-10, 15-13.
Turut mengesahkan kemaraan ialah beregu pilihan kelima, Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang menundukkan wakil Hong Kong, Cheng Ying Kit-Hung Ho Yan, 15-9, 15-12.
Begitupun, perjalanan rakan senegara, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Low Zi Yu terkesat di pusingan ketiga selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Muhammad Mulky Aufa Atmaja-Salma Mufida, 7-15, 21-19, 15-13.
Dalam acara perseorangan lelaki, Ayu Fu Sheng berjaya mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan kesembilan dari Hong Kong, Lam Ka To, 15-4, 3-15, 16-14 untuk mara ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, Ziheng turut mengekalkan momentum dalam acara beregu lelaki apabila dia yang bergandingan dengan Zhi Yang menewaskan wakil Amerika Syarikat, Arden Lee-Stanley Xing, 15-12, 16-14.
Dalam perseorangan wanita, Carine Tee dan Oo Shan Zi memastikan cabaran Malaysia terus dikibarkan selepas mengalahkan lawan masing-masing.
Carine menundukkan pemain Denmark, Marie Viscovich, 15-8, 15-11, manakala Shan Zi menyingkirkan wakil Indonesia, Salsabila Amiradana dengan keputusan sama.
Bagaimanapun, dua lagi wakil negara, Eng Ler Qi dan Lim Zhi Shin, gagal meneruskan cabaran apabila tewas kepada pilihan keempat dari Sri Lanka, Ranithma Liyanage (15-9, 15-12) dan pemain China, Liu Si Ya (15-10, 16-14).
Dalam acara beregu wanita, pasangan pilihan ke-15, Nicole Chau-Teh Xin Ying, mudah menewaskan gandingan Sri Lanka, Sandathi Hewagallage-Pawani Illeperumaarachchi, 15-2, 15-7 dengan Zi Yu yang bergandingan dengan Noraqilah, turut mara selepas menundukkan pasangan Denmark, Athene Lyduch Thornild-Jasmin Willis, 15-6, 15-11. – BH Online –
IMedikel TV






