KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Zaki Yamani mengakui sentiasa menjaga penampilan dan memastikan dirinya kemas walaupun di rumah.
Memetik laporan Berita Harian, Zaki berkata amalan itu diterapkan ibu sejak kecil menerusi gaya hidup dan disiplin bapanya, penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah.
“Saya memang suka penampilan kemas dan tidak selesa jika kelihatan tidak bersedia. Keluar rumah walaupun sekadar ke kedai serbaneka, saya akan pastikan penampilan terjaga.
“Saya percaya apabila kita menjaga diri, sentiasa kemas dan wangi, rezeki akan masuk. Mana tahu tiba-tiba ada orang mahu berbual mengenai persembahan atau tawaran kerja.
“Sebagai artis, kita perlu sentiasa bersedia kerana peluang boleh datang pada bila-bila masa,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single baharunya, Akur di sini, semalam.
Selain penampilan, Zaki turut menjaga kecergasan dengan kerap ke gimnasium dan melakukan aktiviti kardiologi bagi memastikan stamina berada pada tahap terbaik.
“Kalau tiba-tiba ada persembahan membabitkan enam atau 10 lagu dengan nada tinggi, saya sudah pastikan stamina berada pada tahap baik.
“Bagi saya, sentiasa kemas termasuk ketika di rumah, sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






