KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman, 51, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Jabatan Penjara Malaysia serta menarik balik kenyataan kontroversi dibuatnya dalam temubual ‘podcast’ baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, Yasin muncul membuat video penjelasan yang dimuatnaik di Instagram (IG) termasuk kenyataan media bagi permohonan maaf secara bertulis di atas kekesalannya dalam berbicara, sekali gus didakwa mencemarkan nama baik agensi berkenaan.
“Saya Yasin Sulaiman, mengambil maklum penjelasan yang dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia berhubung beberapa perkara yang pernah saya kongsikan dalam podcast dan temubual baru-baru ini mengenai pengalaman saya ketika berada di dalam penjara.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan apa yang saya alami dan fahami ketika melalui tempoh berkenaan.
“Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania. Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara berlaku di sekeliling saya,” tulisnya dalam kenyataan media berkenaan.
Jelas Yasin, dia juga sama sekali tidak pernah berniat mahu mencemarkan nama baik jabatan berkenaan ataupun memperkecilkan tugas pegawai dan anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan menerusi perkongsian temubual podcast bersamanya.
“Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan terbabit.
“Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya atas kekeliruan yang timbul.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik jabatan atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota berkaitan,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Nur Kasih dan Mimpi Laila ini, dia sangat menghargai tugas dan khidmat pegawai serta anggota jabatan yang menjalankan tanggungjawab amanah besar digalas itu.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap segala kekeliruan yang timbul daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada November 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah, namun memerintahkan dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Pada 2 September lalu, Yasin akhirnya dibenarkan pulang sebagai orang bebas selepas lebih empat tahun berdepan kes mahkamah dan mendapat rawatan berkaitan masalah mentalnya hingga disahkan kembali sihat serta terkawal. – BH Online –
IMedikel TV






