Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, sempat bersarapan bersama keluarga dan meminta izin keluar bermain, sebelum kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini, semalam.
Neneknya, Mahani Mad Som, 63, berkata cucunya kemudian bermain buaian sebelum dia mula mencarinya apabila tidak lagi kelihatan di rumah.

“Puteri kemudiannya bermain buaian dan selepas itu saya tercari-carilah mana dia. Saya tanyakan bapanya, tetapi dia juga tidak tahu.
“Saya rasa tidak sedap hati lalu mengajak menantu ke sungai sebelum ternampak selipar Puteri di atas tebing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang, di sini.
Menurut Mahani, lebih memilukan, pada malam sebelum kejadian, Puteri yang juga anak bongsu dari dua beradik bersungguh-sungguh mengajak bapanya, Mustafa Saleh, menunaikan solat Isyak bersama pada malam sebelum kejadian.
Katanya arwah cucunya itu sangat rapat dengannya dan sering bercerita pelbagai perkara apabila pulang ke kampung.
“Dia tidak pernah cakap begitu sebelum ini. Semalam baru pertama kali saya dengar dia berkali-kali mengajak bapanya solat bersama. Dia siap cakap, ‘Papa, cepatlah… marilah solat’.
“Dia budak cerdik, bila pulang ke kampung akan bercerita macam-macam hal,”katanya.
Semalam IMedikel TV melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya, yang mengamuk dan mempunyai masalah kesihatan mental dalam kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi di sini.
IMedikel TV






