Oleh: Alini Nadhirah Ismail, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Dalam usaha memberi perkhidmatan kebajikan dari segi kesihatan, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengutarakan hasrat dalam mewujudkan poliklinik kesihatan khas secara percuma kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, cadangan pelaksanaan berkenaan akan dibawa ke peringkat tertinggi Mindef pada tahun ini selain bergantung kewangan yang sedia ada.
“Tapi poliklinik kesihatan itu mungkin antara yang penting bagi vateren terutamanya bagi negeri-negeri sepertimana Kelantan, Perak, Kedah yang mana anggota vateren itu agak ramai jadi saya fikir mungkin ada di kawasan-kawasan tertentu jadi mungkin Mindef akan cadangkan supaya poliklinik kesihatan khusus kepada anggota tentera diberikan keutamaan untuk pelaksanaannya dan kita cuba untuk jayakan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan Ke-54 Tahun 2023 di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Katanya, pelaksanaan poliklinik kesihatan khas itu akan dimulakan di Kelantan kerana negeri ini mempunyai kepadatan golongan veteran lebih ramai berbanding negeri lain iaitu 15 ribu orang maka Kelantan akan diberikan keutamaan untuk bantuan tersebut.
“Sesetengah negeri lain ada sekitar 5,000 hingga 6,000 orang sahaja.
“Kita mempunyai data dan lokaliti golongan veteran ini termasuk kawasan yang mempunyai kepadatan veteran.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sazali Ismail dan Yang Dipertua PVATM Kelantan, Ab Aziz Awang Lah.
Imedikel TV






