Home Sukan WOLVES KEJUTKAN VILLA, ELAK REKOD TERBURUK

WOLVES KEJUTKAN VILLA, ELAK REKOD TERBURUK

135
0

WOLVERHAMPTON: Wolverhampton Wanderers meraih kemenangan kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila Joao Gomes mencetus kemenangan mengejut 2-0 ke atas Aston Villa, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Joao Gomes menjaringkan gol liga pertamanya musim ini pada babak kedua sebelum Rodrigo Gomes melengkapkan kemenangan ke atas Villa yang longlai di Molineux dalam hujan lebat.

Dengan Villa yang menghuni tangga ketiga tampil di bawah prestasi sebenar, pasukan kendalian Rob Edwards yang berada di dasar liga akhirnya meraih tiga mata buat kali pertama sejak menewaskan West Ham United awal Januari lalu.

Ketinggalan 14 mata daripada zon selamat dengan hanya sembilan perlawanan berbaki, kemenangan pertama Wolves dalam sembilan aksi EPL mencetus kebangkitan untuk mengelak penyingkiran.

Namun, kejayaan derbi West Midlands itu tetap detik manis buat penyokong setia Wolves apabila ia menjejaskan usaha Villa memburu tempat ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Kemenangan itu juga memastikan Wolves mengelak daripada mencatat jumlah mata terendah baharu dalam sejarah EPL.

Kutipan 13 mata setakat ini mengatasi rekod terendah 11 mata yang dicatat Derby County pada musim 2007-08.

“Saya sangat bangga, sebab itu saya datang ke sini, malam seperti ini untuk berhubung dengan penyokong.

“Saya tahu kami berada dalam kedudukan sukar tetapi saya suka bola sepak seperti ini, ia sangat hebat,” kata Edwards.

Villa kini enam mata di depan Chelsea di tangga kelima dan Liverpool di tangga keenam dalam perebutan tempat ke UCL, dengan kedudukan lima teratas dijangka mencukupi untuk layak.

Namun, pasukan kendalian Unai Emery itu hanya menang dua kali dalam lapan perlawanan liga terakhir.

Dua aksi liga seterusnya bakal menjadi penentu apabila mereka menerima kunjungan Chelsea sebelum bertandang ke gelanggang Manchester United yang menghuni tangga keempat.

“Pada babak kedua Wolves memenangi lebih banyak bola dan masuk ke dalam kotak penalti kami. Apabila mereka menjaringkan gol, ia menjadi semakin sukar buat kami.

“Sekarang masa untuk bersatu dan memahami kedudukan kami. Hari ini kami tidak capai apa yang diperlukan tetapi ia masih dalam tangan kami untuk berada di kedudukan terbaik,” kata Emery.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here