Selepas mencuri perhatian menerusi drama Rona Bosphorus, pelakon baharu Dania Iza kini mengukuhkan profil seninya apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam drama bersiri bertemakan bomba, PB Orked.
Memetik laporan Harian Metro, Dania atau nama sebenarnya Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin, 19, berkata watak Orked menuntut komitmen tinggi kerana membabitkan pelbagai babak aksi dan penyelamatan yang memerlukan ketahanan fizikal serta mental.
“Watak Orked menuntut ketahanan fizikal dan mental disebabkan elemen aksi penyelamatan yang realistik.
“Ini fasa baharu yang mencabar, namun saya tekad terus belajar demi memberi yang terbaik kepada peminat dan industri kreatif negara,” katanya.
Menurut Dania, peluang membawakan watak utama dalam drama terbitan NS Star Sdn Bhd yang kini ditayangakan di TV2 itu memberi pengalaman berharga dalam perjalanan seninya yang masih di peringkat awal.
Katanya, dia melihat naskhah berkenaan platform terbaik mengembangkan bakat serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran industri hiburan yang semakin kompetitif.
Drama PB Orked mengisahkan perjuangan wanita cekal bernama Orked berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik kekeluargaan, kerjaya dan pencarian cinta dalam kehidupan moden.
Sebelum ini, Dania mula mendapat perhatian menerusi penampilannya dalam drama Rona Bosphorus yang membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan kerjaya seni.
Malah, lakonan anak jati Kajang, Selangor dalam drama itu turut mendapat perhatian penonton di Indonesia sekali gus memperkenalkan namanya kepada khalayak ramai.
Selain aktif dalam bidang lakonan, Dania yang juga pemenang Miss Kuala Lumpur 2024 mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan, pidato dan peragaan termasuk di peringkat antarabangsa. – HMetro Online –
IMedikel TV






