KOTA BHARU: Seorang etnik Rohingnya ditemui maut dipercayai ditikam di sebuah kebun jagung di Kampung Melor Lama, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, hari ini.
Jiran yang juga saksi kejadian, Tengku Nur Ayuni Tengku Ismail, 29 berkata, mangsa adalah tetamu kepada penyewa yang datang menunggang basikal ke situ, Subuh pagi tadi.
“Pada mulanya saya sekeluarga terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh di dalam rumah, selepas beberapa lama, keadaan menjadi senyap.
“Kira-kira 8.30 pagi, saya melihat suspek memegang sebilah pisau yang penuh dengan darah berada di kebun jagung yang terletak di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melor Lama, Melor, di sini, hari ini.
Menurutnya rumah sewa tersebut didiami warga Rohingya tersebut lebih dua tahun lalu dan mangsa pernah menyewa rumah terbabit sebelum berpindah ke rumah lain.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan masih dijalankan.